Sunday, December 4, 2011

Ucapan Penggulungan Bajet 2012 oleh Ketua Menteri Sabah di DUN Sabah pada Khamis 24 November 2011




Sumber : Jabatan Ketua Menteri Sabah

UCAPAN PENGGULUNGAN
PERBAHASAN BAJET 2011
OLEH YAB KETUA MENTERI
DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA 24 NOVEMBER 2012


Bismillah irrahaman irrahim
Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh

Tuan Speaker,

Saya telah diamanahkan oleh YAB Ketua Menteri untuk menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Bajet Tahun 2012 ini bagi Jabatan Ketua Menteri.


Tuan Speaker,

1. Alhamdullilah, kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izinNYA Bajet Negeri Sabah 2012 yang bertemakan “MELONJAKKAN KESEJAHTERAAN DAN KEMAKMURAN NEGERI” telah berjaya dibentangkan dan dibahaskan dengan nada yang penuh bertenaga dan bermakna.

Tuan Speaker,

2. Saya berterima kasih dan sungguh menghargai komitmen serta penglibatan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam perbahasan kali ini serta sokongan padu terhadap Bajet Negeri Sabah Tahun 2012 ini. Segala cadangan, ulasan serta teguran-teguran yang membina (constructive) yang dikemukakan dalam perbahasan ini akan dikaji dan diteliti dengan terperinci demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

3. Semua isu-isu yang ditimbulkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semasa perbahasan di Dewan yang mulia ini adalah penting dan relevan. Dengan itu, izinkan saya menjawab beberapa isu yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.

PERKHIDMATAN AWAM

4. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Pantai Manis, dasar kenaikan pangkat seseorang Pegawai adalah berasaskan merit dan melalui Jawatankuasa Kenaikan Pangkat Kementerian atau Jabatan sebelum diperakukan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

5. Dalam mempertimbangkan seseorang pegawai bagi tujuan kenaikan pangkat berkenaan, Jawatankuasa Kenaikan Pangkat Jabatan atau Kementerian hendaklah mengambil kira faktor berikut:

i) Kecekapan dan prestasi kerja pegawai

ii) Kelayakan, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman pegawai
iii) Sifat-sifat peribadi termasuk kesesuaiannya dengan jawatan kenaikan pangkat itu, keutuhan potensi dan kepimpinan pegawai.

Di samping itu, kriteria berikut juga akan diambilkira dalam mempertimbangkan kenaikan pangkat seseorang pegawai:

i) Mempunyai markah penilaian prestasi yang memuaskan untuk tiga tahun terkini
ii) Telah membuat pengisytiharan harta
iii) Bebas dari tindakan tatatertib
iv) Lulus tapisan keutuhan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
v) Bebas daripada peminjaman tegar Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

6. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri adalah badan bebas yang menentukan sesuatu perakuan itu sama ada diluluskan atau sebaliknya.

7. Menyentuh isu pelantikan semula selepas bersara penjawat-penjawat awam yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan N.22 Pantai Manis, saya ingin menjelaskan di sini bahawa pelantikan semula selepas bersara yang dibenarkan oleh Kerajaan hanya kepada mereka yang benar-benar mempunyai kepakaran seperti dalam bidang kewangan, kejuruteraan dan pengurusan. Pelantikan semula mereka ini tidaklah memudaratkan, malah ia telah memberi impak positif kepada pembangunan negeri dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

8. Selain itu, jumlah pegawai yang dilantik semula juga adalah kecil. Bilangan pegawai yang dilantik semula pada tahun 2009 ialah seramai 7 orang daripada sejumlah 172 orang yang bersara. Pada tahun 2010 seramai 8 orang telah dilantik semula daripada sejumlah 268 pegawai yang bersara. Manakala pada tahun 2011, seramai 433 orang pegawai yang bersara dan dari jumlah tersebut seramai 8 orang sahaja yang dilantik semula selepas bersara. Ini bermakna sejak tiga tahun lalu, hanya seramai 23 orang pegawai sahaja yang dilantik semula daripada seramai 873 orang pesara.

9. Tempoh lantikan semula mereka ialah dari satu hingga dua tahun dan majoriti yang dilantik semula pada tahun 2009 dan 2010 telah berakhir.

10. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari kawasan Sindumin dan Matunggong bahawa skim gaji baru jawatan Pemaju Mukim Gred S17 (jawatan sementara) akan dilaksanakan dalam pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2012. Mereka juga akan menikmati kenaikan gaji sama seperti penjawat awam yang lain. Perincian jadual gaji bagi jawatan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

ISU PEMBINAAN KOLEJ ISLAM

11. Menyentuh isu yang ditimbulkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Lumadan, pembinaan Kolej Islam di daerah Beaufort belum dapat dilaksanakan lagi kerana peruntukan untuk membina kolej tersebut tidak termasuk dalam bajet yang dibentangkan. Walau bagaimanapun, permohonan peruntukan untuk maksud tersebut akan di pohon dalam ‘rolling plan’ berikutnya.


ISU PERKHIDMATAN KESIHATAN



12. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari kawasan Kundasang, terdapat dua cara untuk meringankan beban Caj Rawatan Pesakit terhadap penduduk luar bandar. Cara-cara tersebut adalah seperti berikut:

(Pertama) (i) Pesakit boleh diberi kelonggaran mengikut budi bicara pengurusan hospital dengan membayar secara ansuran atau membuat bayaran bila menjalani pemeriksaan susulan. Kelonggaran ini diberikan khas kepada pesakit kelas ketiga sahaja yang berwarganegara Malaysia.

(Kedua) (ii) Ketua Setiausaha Perbendaharaan boleh mengecualikan mana-mana Kelas atau Kumpulan orang awam (Warganegara Sahaja) dari membayar kesemua atau mana-mana bahagian daripada caj-caj yang dikenakan di bawah Akta Fi 1951, Perintah Fi (Perubatan) 1982.

13. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari kawasan Matunggong, Klinik Kesihatan Matunggong telah beroperasi sejak tahun 1973 lagi. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pernah menyenaraikan Klinik Kesihatan Matunggong ini untuk dinaiktaraf di dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Walau bagaimanapun projek ini tidak dapat dilaksanakan kerana menghadapi masalah tapak.

14. Pada ketika ini, tapak untuk pembinaan naiktaraf Klinik Kesihatan Matunggong sudah dikenalpasti iaitu terletak dalam Pekan Matunggong Baru yang jaraknya 5km dari Klinik Kesihatan Matunggong. Tanah tersebut terlebih dahulu perlu ditukarkan hak milik kepada Kementerian Kesihatan. Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan akan memasukkan projek Naik Taraf Klinik Kesihatan Matunggong ke dalam senarai perolehan tanah di bawah Rancangan Malaysia Ke 10.

ISU TANAH

15. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari kawasan Sukau, peranan Jawatankuasa Penapisan Permohonan Tanah (JPPT) Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur adalah untuk menapis semua maklumat dan memastikan maklumat adalah lengkap dan teratur sebelum permohonan tanah berkenaan diperakukan kepada Setiausaha Hasil Bumi selaras dengan perwakilan kuasa meluluskan permohonan tanah di bawah seksyen 9(1) Ordinan Tanah Sabah Bab. 68.

16. Dengan tertubuhnya JPPT ini, perakuan oleh Pengarah Tanah dan Ukur merupakan perakuan secara kolektif dan telus kerana keputusan yang dibuat adalah melibatkan ketiga-tiga orang Timbalan Pengarah serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Tanah dan Ukur.

17. Jawatankuasa Penapisan Permohonan Tanah tidaklah bertujuan untuk mengatasi (Override) keputusan Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah (JPTD) tetapi ia memastikan permohonan tanah yang diperakukan adalah lengkap dan teratur untuk memudahkan pihak atasan membuat keputusan dan mengelakkan kuiri yang boleh melambatkan proses selanjutnya.

18. Selain itu, permohonan tanah dalam kategori yang boleh diluluskan oleh Pengarah Tanah dan Ukur selaras dengan seksyen 9(1) Ordinan Tanah Bab. 68, tidak perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penapisan Permohonan Tanah kecuali permohonan tanah dalam kategori lot-lot terancang. Kaedah ini bukan sahaja memberikan keputusan yang telus tetapi merupakan transformasi Jabatan Tanah dan Ukur ke arah memantapkan lagi keutuhan pentadbiran tanah.

19. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari kawasan Sukau dan Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, sejak pewujudan Jawatankuasa Penapisan Permohonan Tanah, mulai bulan Julai 2007 hingga bulan Mei 2011 sebanyak 5,260 permohonan tanah telah ditapis di mana sebanyak 3,746 permohonan tanah NT telah diluluskan, manakala sejumlah 1,511 permohonan tanah telah dimajukan kepada Pejabat Setiausaha Hasil Bumi dan sebanyak 3 permohonan tanah telah diluluskan untuk pewartaan.

20. Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Penapisan Permohonan Tanah akan bermesyuarat pada 01 Disember 2011 dan sebanyak 360 permohonan tanah akan dibentangkan yang melibatkan sebanyak 335 permohonan tanah yang berkelompok untuk tujuan pertanian dan sebanyak 25 permohonan tanah untuk tujuan "Homestead". Dengan adanya mesyuarat tersebut, maka semua permohonan tanah yang lengkap dan teratur yang telah diperakukan kepada Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur akan dapat diselesaikan. Oleh itu, bilangan tunggakan permohonan tanah di Ibu Pejabat dapat dikurangkan ketahap minima. Justeru itu, Jawatankuasa Penapisan Permohonan Tanah Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur perlulah diteruskan.


21. Menyentuh isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Kundasang mengenai pertindihan permohonan tanah yang berlaku di daerah Ranau, ia adalah disebabkan oleh perubahan persempadanan daerah antara Ranau dan Labuk-Sugut. Walau bagaimanapun, Jabatan Tanah dan Ukur melalui Pejabat Tanah Ranau sedang dalam usaha mengenalpasti kawasan yang telah diusahakan berbanding dengan kawasan yang dipohon sama ada melalui Pejabat Tanah Ranau atau Pejabat Tanah Beluran. Mana-mana kawasan yang telah diusahakan dan terlibat dengan permohonan tanah yang telah diluluskan, ia akan dikeluarkan daripada kelulusan tersebut tertakluk kepada asas tuntutan hak asasi.

22. Selain itu, Kerajaan juga sedang merancang untuk mewujudkan Geran Komunal di kawasan yang terlibat dengan masalah pertindihan permohonan tanah sebagai satu mekanisma untuk menangani masalah pertindihan permohonan dan penerokaan tanah Kerajaan.

23. Berhubung dengan Skim Pekebun kecil Kirokot seluas 4,234 ekar yang telah diwujudkan sejak tahun 1979 lagi, Skim tersebut telah diukur keliling tetapi belum diukur pada lot-lot individu. Skim ini telah diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) untuk dibangunkan secara usahasama tetapi sehingga kini pembangunan tersebut belum dilaksanakan.

24. Skim tersebut telah dicadangkan oleh Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Ranau kepada Pengarah Tanah dan Ukur untuk dijadikan Tapak Perkampungan yang merangkumi Kg. Kirokot, Kg. Lobou Timbua, Tapak SK Kirokot dan Padang Ragut/Ternakan.

25. Skim Penempatan Tarawas, Ranau seperti yang ditimbulkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Kundasang, skim ini telah diwartakan melalui G.N. 675 tahun 1980 dan diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah untuk dimajukan dengan memberi keutamaan kepada penduduk kampung yang terlibat dengan pencemaran Lombong Mamut sebagai peneroka.

26. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada kaji selidik oleh pihak Kementerian Tenaga Rakyat dan Pembangunan Alam Sekitar pada 17 November 1986, penduduk kampung yang terlibat di dapati lebih cenderung menerima pampasan daripada menduduki penempatan Skim Sasapan.
27. Sehubungan itu, dalam mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah bertarikh 06 April 1987, pihak LKTNS telah memutuskan supaya penyukatan pembahagian lot untuk skim koko seluas 7 ekar di setiap lot dijalankan, dan diperuntukkan kepada individu yang difikirkan layak. Walau bagaimanapun, penyukatan lot-lot individu tidak dapat dijalankan kerana pewartaan untuk skim tersebut belum lagi dibubarkan.

28. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari kawasan Balung, tanah bergeran yang telah tamat tempoh pemilikannya (contohnya 99 tahun), secara automatik akan menjadi Tanah Kerajaan (State Land). Permohonan perlanjutan tempoh pajakan adalah atas budibicara pihak Kerajaan sama ada meluluskan atau sebaliknya, dan ia bergantung kepada keperluan Kerajaan mengenai kawasan tersebut.

29. Oleh itu, cadangan Ahli Yang Berhormat dari kawasan Balung untuk mengambil balik 50% daripada kawasan tanah bergeran yang telah luput tempoh pemilikannya dan diagihkan kepada rakyat untuk diterokai perlu diberi pertimbangan dan diteliti dari pelbagai sudut terutama sekali kepada pemilik tanah dan bakal peneroka yang tidak mempunyai tanah.

30. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari kawasan Balung juga, selaras dengan Seksyen 26(2), Ordinan Tanah Sabah Bab. 68, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menjadikan mana-mana kawasan di sepanjang tebing sungai sebagai tanah simpanan tebing sungai.

31. Dalam usaha untuk menguatkuasakan peruntukkan Seksyen 26(2), Ordinan Tanah Sabah Bab. 68 tersebut, Jabatan Tanah dan Ukur telah memperolehi peruntukan daripada Kerajaan Negeri untuk program pengukuran tanah simpanan tebing sungai di seluruh negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke- 10. Tujuan pengukuran ini ialah untuk mewartakan semua tebing sungai di seluruh negeri. Pewartaan ini akan memperkukuhkan pengurusan dan perlindungan tanah-tanah tebing sungai serta menguatkuasakan undang-undang kepada penceroboh kawasan simpanan tanah tebing sungai. Pengukuran tersebut telah bermula di Sungai Kinabatangan pada tahun 2011.

32. Menyentuh isu Geran Komunal yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Kuamut, Geran Komunal yang dikeluarkan adalah bersyarat NT/FR dan merupakan geran pegangan kekal dan bukan bersifat sementara. Berlandaskan seksyen 77, Ordinan Tanah Sabah Bab.68, ia dibenarkan untuk dipecah bahagi untuk pengeluaran geran individu yang bersyarat NT. Oleh itu tuduhan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa Geran Komunal bersifat sementara adalah tidak tepat.

33. Bagi kakitangan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, pemilikan harta adalah tertakluk kepada seksyen 210 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008. Pegawai awam perlu mendapat kebenaran memiliki harta daripada pihak atasan dan tertakluk kepada seksyen 205 dan 208 peraturan tersebut. Bagi Kakitangan Awam Persekutuan peraturan-peraturan tersebut juga digunapakai berdasarkan Perintah Am dan akta-akta yang berkaitan. Oleh itu, semua kakitangan awam hendaklah mendapat kebenaran dari pihak atasan seperti yang tertera dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008 atau Perintah Am atau Akta-akta yang berkaitan, sebelum memohon untuk menjadi benefisiari.

ISU BANJIR

34. Menyentuh isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Likas dan Luyang mengenai kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan-kawasan tertentu terutamanya kawasan Dah Yeh Villa dan Lido, ia telah diberikan perhatian yang serius oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Perkara ini telah dikaji secara teliti dan terperinci oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR) dan juga DBKK dalam mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan. Meskipun beberapa langkah pencegahan telah diambil, namun kejadian banjir kilat terus juga berlaku. Contohnya, kejadian banjir kilat di kawasan Lido dan Kepayan adalah disebabkan oleh air pasang-surut.

Sehubungan itu, cadangan pembinaan dan pemasangan injap/pam pencegahan banjir di kawasan Petagas dan Sembulan dipercayai dapat mengurangkan kejadian banjir kilat di kawasan yang berisiko tinggi dari ditenggelami air banjir. Walau bagaimanapun, kejadian banjir setempat yang disebabkan oleh keadaan fizikal longkang seperti dinding parit pecah, rosak dan tersumbat adalah mudah untuk di atasi dan ia merupakan kerja rutin dan berterusan dalam penyelenggaraan sistem perparitan.

ISU LKTNS

35. Menyentuh dakwaan Ahli Yang Berhormat dari kawasan Bingkor mengenai kaedah ala “mafia” yang diamalkan oleh pengurusan LKTNS, iaitu memaksa penduduk tempatan menyerah atau membatalkan PT mereka, pengurusan LKTNS sebenarnya mengamalkan budaya kerja yang Perihatin, Bertanggungjawab dan Telus.

Kaedah–kaedah pembangunan tanah yang diamalkan selama ini adalah seperti berikut:
i) Pihak JKKK kawasan berkenaan disaran untuk membuat permohonan kepada LKTNS untuk membangun kawasan yang dicadangkan.

ii) Mendapat pelawaan melalui mesyuarat JKKK untuk membangunkan kawasan tertentu dengan tanaman sawit secara usaha sama.

iii) LKTNS akan mengadakan dialog dengan JKKK dan penduduk kampung untuk memberi penerangan secara terperinci tentang kaedah dan terma usaha sama yang dianjurkan dan salah satu terma usaha tersebut adalah sebanyak 70% daripada kawasan yang bertanam dengan sawit akan diagihkan kepada penduduk kampung manakala 30% kawasan tanah tersebut akan kekal sebagai milik LKTNS sebagai kawasan komersial untuk menampung kos pengurusan dan sebagai salah satu sumber pendapatan Kerajaan.

iv) Setelah mendapat mandat daripada dialog tersebut secara bertulis pihak LKTNS akan mengenalpasti kawasan dan menjalankan kajian kesesuaian tanah untuk tanaman sawit serta membuat permohonan tanah secara rasmi kepada Pengarah Tanah dan Ukur.

v) Pembangunan ladang-ladang sawit secara usaha sama dengan penduduk kampung.

vi) Manfaat tambahan yang dinikmati peserta adalah seperti peluang pekerjaan, peluang- peluang perniagaan dan kemudahan infrastruktur yang lebih baik. Selain itu, LKTNS terus menjaga kebajikan peserta dalam hari- hari perayaan, bencana alam dan lain lain keperluan kemasyarakatan.

vii) Amalan pengurusan LKTNS adalah peserta projek sentiasa diutamakan.

ISU PENDATANG TANPA IZIN (PATI)

36. Bagi menjawab isu yang ditimbulkan oleh Ahli Yang Berhormat dari kawasan Tanjung Batu, siasatan dan penelitian telah dilakukan di sekitar Pelabuhan Tawau dan mendapati bahawa kegiatan penyeludupan manusia yang berlaku di Pelabuhan Tawau adalah di luar kawalan pihak Imigresen. Kegiatan ini didalangi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan sukar untuk di kesan identitinya.

37. Walau bagaimanapun, mulai 04 Mei 2011, semua kaunter pemeriksaan keluar dan masuk Imigresen di Pelabuhan Tawau telah dilengkapi dengan sistem biometrik dan dengan itu ia mampu mengatasi masalah penipuan dokumen yang dilakukan oleh penumpang dari negara jiran.

38. Berhubung dengan dakwaan Ahli Yang Berhormat dari kawasan Sipitang mengenai warga asing bekerja di tapak pembinaan PETRONAS di Kimanis, rekod yang diperolehi daripada Sistem Imigresen Malaysia menunjukkan kontraktor utama yang menjalankan projek pembinaan di tapak pembinaan Kimanis iaitu Samsung Engineering (Malaysia) Sdn Bhd telah mendapat kelulusan kuota pekerja asing seramai 1,000 orang oleh Jawatankuasa One Stop Centre (OSC) Kota Kinabalu yang terdiri daripada Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), Jabatan Pertanian Negeri Sabah, Pasukan Petugas Khas Persekutuan (S/L) Negeri Sabah, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Negeri Sabah, Lembaga Koko Malaysia, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Malaysia Palm Oil Board (MPOB), Jabatan Perikanan Sabah, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak serta Jabatan Perhutanan.

PENUTUP

Tuan Speaker,

39. Dalam merealisasikan matlamat dan hasrat Kerajaan Negeri yang murni selaras dengan tema Bajet 2012 ini, saya ingin menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, Wakil-Wakil Rakyat, Semua Pemimpin dan anggota perkhidmatan awam serta rakyat jelata untuk sama-sama memikul tanggungjawab dengan lebih komited dan dedikasi bagi menjayakan gagasan Kerajaan ini.

Tuan Speaker,

40. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah 1433, Selamat Hari Krismas dan Selamat Tahun Baru.

Tuan Speaker,

Saya mohon menyokong.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs