Friday, May 11, 2012

Jabatan Tenaga Kerja selar kenyataan Irene Fernandez mengenai diskriminasi pekerja asing di Malaysia




Datuk Sh. Yahya Sh. Mohamed, Ketua Pengarah Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia menyelar kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez bahawa Malaysia tidak selamat untuk pekerja asing dan mengamalkan diskriminisai khususnya terhadap pekerja asing.

Katanya, kenyataan Pengarah Eksekutif Tenaganita ini sangat merbahaya dan boleh mengancam ekonomi negara. Beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan yang bercanggah dengan dasar dan undang – undang sedia ada negara, seolah – olah negara mengabaikan kebajikan dan perlindungan serta mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja asing.

Akta kerja 1955 jelas tidak membezakan hak dan tanggungjawab majikan sama ada ke atas pekerja tempatan mahupun pekerja asing, misalnya seksyen 60L, tidak membenarkan amalan diskriminasi terhadap pekerja asing. Setiap pekerja mendapat hak yang sama di bawah akta ini.

Setiap majikan yang menggaji pekerja asing juga diwajibkan untuk melaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh 14 hari dari tarikh penggajian seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 60k Akta Kerja 1955. Ini bagi membolehkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap majikan serta memastikan pekerja asing dilindungi dan mendapat layanan yang sama dengan pekerja tempatan.

Di bawah seksyen 26, Akta Pampasan Pekerja 1952 pula, majikan diwajibkan mengambil perlindungan insuran untuk melindungi pekerja asing dan membayar pampasan jika berlaku kemalangan di tempat kerja.

Pelbagai pendekatan dilakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia untuk meningkatkan tahap pematuhan majikan ke atas akta perburuhan dan memastikan pekerja asing tidak di diskriminasi ; antaranya melalui pemeriksaan penguatkuasaan ke atas industri, penyiasatan aduan yang disusuli dengan tindakan kompaun dan pendakwaan terhadap majikan yang ingkar.

Sepanjang tahun 2011, sebanyak 53,055 majikan telah diperiksa, dimana 106 majikan telah berjaya didakwa yang melibatkan denda sebanyak RM 210,920.61 dan 136 berjaya dikompaun melibatkan amaun RM 414,000.00.

Bagi tahun 2012 pula daripada 7,810 majikan yang diperiksa, sebanyak 2854 premis menggaji pekerja asing, sebanyak 328 pelanggaran dikesan dengan 102 daripadanya dikenakan pertuduhan.

Daripada jumlah tersebut yang melibatkan kegagalan melaporkan penggajian pekerja asing dan mengambil perlindungan insuran ke atas pekerja asing masing masing adalah 2.

Jabatan ini menyediakan kaunter perkhidmatan yang sama bagi pekerja asing mahupun pekerja tempatan membuat aduan.

Bagi tahun 2011 sahaja, sebanyak 4036 aduan diterima dan disiasat serta Berjaya diselesaikan manakala bagi tahun 2012 iaitu sehingga 31.3.2012 sebanyak 476 aduan berkaitan pekerja asing berjaya diselesaikan.

Berhubung dengan dakwaan kononnya wanita warga asing yang bekerja di Malaysia digambarkan sebagai objek eksploitasi, didera secara fizikal dan dirogol majikan adalah keterlaluan dan memberi gambaran yang sangat negatif seolah – olah Malaysia tidak mempunyai sebarang undang – undang dan peraturan untuk mengekangnya.

Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 dan diikuti dengan persetujuan bersama MoU Malaysia/Indonesia merupakan mekanisme terbaik dalam mengawal dan memastikan Pembantu Rumah Asing khususnya Indonesia mendapat perlindungan lebih baik, antaranya kadar gaji mengikut pasaran yang dipersetujui majikan dan pembantu rumah sebelum mereka memasuki dan bekerja di Malaysia, pembantu juga mendapat hak satu hari cuti setiap minggu, menyimpan pasport mereka sendiri, gaji dibayar terus ke dalam akaun bank, dan bebas melaporkan sebarang perlanggaran kontrak sama ada terus ke kedutaan mereka dan JTK tanpa rasa khuatir kerana setiap daripada mereka dibekalkan nombor telefon penting dan menjalani latihan induksi di Indonesia selama 200 jam sebelum bekerja di Malaysia.


Joint Task Force (JTF) bagi memantau perlaksanaan MoU tersebut merupakan mekanisme terbaik yang telah ditubuhkan di Malaysia dan Indonesia.

JTF ini bertindak sebagai badan pemantau dan pemudahcara bagi memastikan majikan dan agensi yang melanggar persetujuan MoU dikenakan tindakan. Hanya agensi yang diperakukan dibenarkan untuk mengurus penghantaran Pembantu Rumah Indonesia (PRI).

Mekanisme ini dapat mencegah sebarang bentuk eksploitasi dan penganiayaan daripada berlaku. Sejak MoU ini ditandatangani, beberapa siri perbincangan telah diadakan bertujuan untuk meningkatkan perlindungan ke atas PRI ini.

MoU ini juga jelas membuktikan kepercayaan kerajaan Indonesia bahawa PRI selamat bekerja di Malaysia.

Daripada aspek perlindungan pekerja asing di negara ini, pihak polis, imigresen dan Jabatan tenaga Kerja sentiasa bekerjasama bagi memastikan penguatkuasaan undang – undang terhadap majikan yang ingkar dan melakukan kesalahan akan diambil tindakan melalui peruntukan undang – undang sedia ada.

Sh. Yahya berkata, tuduhan Pengarah Eksekutif Tenaganita itu tidak berasaskan fakta.

“Bagaimana dia boleh kata negara kita tidak selamat sedangkan pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menjaga kebajikan pekerja asing dan menurut statistik sehingga 31.12.2011 terdapat seramai 1.6 juta pekerja asing di Malaysia dan 50% daripadanya adalah warga Indonesia. Manakala bagi pembantu rumah 74% adalah warga Indonesia.

“Saya juga tidak faham dari mana Irene mendapat maklumat bahawa pekerja ladang tidak tertakluk kepada gaji minimum yang diumumkan oleh YAB. Perdana Menteri pada 30.04.2012 lalu. Pekerja di sektor perladangan adalah tertakluk kepada gaji minimum yang akan dilaksanakan kelak. Seperti di Indonesia dan beberapa negara lain, pekerja pembantu rumah tidak tertakluk kepada gaji minimum yang mana gaji mereka adalah mengikut persetujuan antara pekerja dan majikan selaras dengan pasaran semasa.

“Sebarang kenyataan terutamanya apabila dibuat di Indonesia tanpa fakta yang jelas sangat dikesali kerana boleh memberi banyak implikasi negatif. Beliau sewajarnya memaklumkan kepada pihak berkuasa negara ini bukan memburukkan Negara sendiri di luar Negara,” katanya.

“Malaysia sebagai negara yang pesat membangun masih bergantung kepada pekerja asing. Kenyataan yang diada – adakan ini sangat merbahaya dan memberikan kesan yang negative kepada industri sedia ada. Ia juga boleh membantutkan pertumbuhan industry baru dan akhirnya akan menyebabkan peningkatan pengangguran. Adakah objektif beliau ingin melihat Malaysia bergolak dan ekonominya tidak berkembang,” katanya lagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs