Saturday, July 30, 2011

Mohd Ashraf / Aleesha Farhana, Lelaki yang ingin menukar status kepada wanita, meninggal dunia di Kuala Terengganu









Ini adalah kisah sedih dan tragis yang dialami seorang rakyat Malaysia yang mahu menukar status gendernya daripada lelaki ke perempuan, namun meninggal dunia 12 hari setelah keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya.

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz , 25 tahun yang sebelum ini gagal dalam permohonan tukar nama dan tukar gender kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia 5 pagi tadi Sabtu, 30 Julai 2011 di unit rawatan rapi, ICU Hosital Sultanah Nur Zahiran, Kuala Terengganu, Terengganu akibat serangan jantung dan tekanan darah rendah.

Dia dimasukkan ke hospital itu 3 pagi pada Khamis 28 Julai 2011 setelah muntah teruk dan tidak sedarkan diri.

Doktor mengesahkan Ashraf / Aleesha mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'.

Ashraf / Aleesha Farhana, dikatakan mengalami kemurungan selepas permohonan-nya untuk menukar nama di mahkamah tinggi Kuala Terengganu ditolak, pada 18 julai 2011 lalu.

Dia sebelum ini telah melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu pada 2009.

18 julai 2011 lalu, Mahkamah Tinggi Terengganu menolak permohonannya selaku pempetisyen setelah mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan, dan kewujudan organ dalaman.

Ringkasnya, permohonan itu ditolak kerana Mohd Ashraf/Aleesha Farhana bukan wanita tulin.

Mohd Ashraf / Aleesha Farhana yang berasal dari Seberang Takir, Kuala Terengganu memohon kebenaran mahkamah meluluskan permohonannya menukar namanya dalam mykad kepada Aleesya Farhana Abdul Aziz.

Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke Universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan jika tidak diiktiraf sebagai seorang wanita.

Hakim Mohd Yazid ketika membuat keputusan itu berkata keputusan mahkamah menolak permohonan itu juga kerana mengambil kira hujah peguam kanan persekutuan, Aida Adha Abu Bakar yang mewakili Ketua Pengarah Pendaftaran Negara.

Mahkamah juga tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan deklarasi bersabit penukaran gender dan tiada sebarang peruntukan undang-undang dalam negara ini yang membenarkan permohonan pemohon untuk menukar status jantina dalam Mykad.



Kes itu mendapat perhatian media dan juga rakyat Malaysia kerana ia sesuatu yang jarang jarang sekali berlaku.

Takziah kepada keluarga Mohd Ashraf / Aleesha Farhana.





Jenazah Ashraf / Aleesha telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Seberang Takir Terengganu jam 4.45 petang Sabtu 30 Julai 2011.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan rasa sedih tidak sempat memberi bimbingan kepada Ashraf / Aleesha Farhana.

Shahrizat berkata, kementerian itu sudah sejak awal menawarkan bimbingan kepada Ashraf kerana berasa prihatin dengan kedudukan pemuda / wanita berusia 25 tahun itu, bagaimanapun takdir Allah mendahului segala-galanya.

"Kita dari mula lagi kita amat rasa prihatin kerana kedudukan beliau. Pendekatan kami di kementerian buat ialah pendekatan kebajikan dan tidak menghukumkan orang,” katanya kepada Bernama.

"Kita sebaliknya cuba memahami dan membimbing sesiapa juga yang memerlukan bimbingan, terutama kepada mereka yang terjebak dalam keadaan terdesak seperti kes Ashraf ini tetapi apakan daya ajalnya sudah tiba,” tambahnya.

Semoga roh Ashraf / Aleesha dicucuri rahmat dan moga Allah mengampunkan dosa dosanya. Al-Fatihah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs