Wednesday, July 13, 2011

4,146 ketua rumah di Sabah masih dikategorikan miskin tegar





Sumber : Jabatan Ketua Menteri Sabah > 13 Julai 2011

1. Setakat 05 Julai 2011, jumlah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) Negeri Sabah ialah 4,146 orang manakala jumlah Ketua Isi Rumah Miskin (KIRM) ialah 28,517.

2. Walaupun jumlah KIRMT telah disifarkan pada penghujung tahun 2010 melalui program Elaun Sementara Satu Azam, namun sebahagian besar tambahan jumlah KIRMT adalah disebabkan oleh sistem terbuka e-kasih yang permohonan pendaftaran terusnya diterima di peringkat daerah.

3. Program terbaru Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ialah Skim Insuran Satu Azam yang akan meliputi sejumlah 32,412 KIRMT dan KIRM berusia di bawah 70 tahun dalam sistem e-kasih.

4. Di bawah perlindungan insuran tersebut, bayaran bagi Ketua Isi Rumah yang meninggal dunia biasa ialah RM10 ribu, manakala bagi Ketua Isi Rumah atau Isteri atau Anak yang meninggal akibat kemalangan pula bayarannya masing-masing adalah sebanyak RM20 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu.

5. Seramai 96 orang KIRMT Daerah Tawau telah mula tinggal di Ladang PPRT Kalabakan setakat bulan Jun 2011 dengan 115 buah yang dibina di bawah Program Bantuan Rumah (PBR). Selain mendapat upah sebagai pekerja ladang, KIRMT berkenaan juga menerima dividen sebanyak RM400 sebulan yang dibayar setiap suku tahun.

6. Sementara itu, sebanyak 105 buah rumah telahpun disiapkan penghujung bulan Jun 2011 di Ladang PPRT Tongod bagi menempatkan KIRMT yang berminat untuk bekerja di Ladang tersebut. Mereka juga akan menerima upah bekerja, di samping dividen RM400 sebulan.

7. Sejumlah 40 buah rumah pula akan mula diduduki penghujung bulan Julai ini di lokasi MESEJ Akuakultur Kg. Kiandut, Pitas. Kerajaan Negeri melalui KPLB Sabah juga telah memperuntukkan lebih kurang RM1.0 juta kepada Jabatan Perikanan Sabah bagi pembinaan 40 buah kolam penternakan ikan air payau di MESEJ tersebut.

8. Sejumlah RM1.0 juta juga telah diperuntukkan kepada Jabatan Perikanan Sabah bagi pembinaan 44 buah kolam penternakan ikan air payau di MESEJ Akuakultur Kg. Sarap Siampak, Menumbok di mana sejumlah 44 buah rumah bagi KIRMT telahpun disiapkan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs