Saturday, July 30, 2011

Penduduk Malaysia kini 28.3 juta orang pada 2011
















Malaysia kini mempunyai 28.3 juta penduduk dengan bilangan lelaki melebihi wanita, demikian menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.

Penduduk lelaki kini adalah 14.56 juta orang dan wanita 13.77 juta orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika mengumumkan laporan itu, yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof.

Nor Mohamed berkata, purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan pula ialah sebanyak 2 peratus untuk tempoh 2000 hingga 2010, menurun berbanding 2.6 peratus bagi tempoh 1991 hingga 2000.

Tidak seperti laporan terdahulu di mana data dikeluarkan Jabatan Perangkawan memuatkan data awalan banci, laporan kali ini memuatkan data muktamad yang telah mengambil kira ralat liputan dan ralat kandungan yang diperoleh daripada Penyiasatan Penilian Liputan Banci.

Banci 2010 adalah yang kelima dijalankan untuk menghasilkan data yang berguna untuk perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara.

Banci sebelum ini telah dijalankan pada 1970, 1980, 1991 dan 2000.

Bagaimanapun bagi saya laporan Banci itu perlu lebih terperinci dengan turut menyelitkan angka gender berasaskan umur.

Maksud saya, berapakan penduduk Malaysia berusia 1 tahun hingga 15 tahun serta pecahan gendernya sekali, berapa pula peratusan penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas, 21 tahun ke atas, 40 tahun ke atas, 50, 60, 70 dan 80 tahun ke atas.

Berapa ramai pula rakyat Malaysia yang umurnya mencecah 100 tahun ke atas?

Siapa rakyat Malaysia paling tua dan berapa usianya? Adakah dia Wok Kundor dari Terengganu yang menarik minat rakyat Malaysia suatu ketika dulu apabila menikah banyak kali mesipun usianya 100 tahun dan bersuami muda?

Berapa pula purata pendapatan setiap keluarga, fakta ini penting untuk kita membasmi kemiskinan dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

Yang pasti, angka 28.3 juta itu bukan 100% rakyat Malaysia kerana banci ini dibuat meliputi semua penduduk tidak kira rakyat tempatan atau sebaliknya, pekerja asing atau sebaliknya.

Di Sabah sahaja, 500,000 daripada 3 juta penduduknya adalah rakyat asing dari Indonesia dan Filipina yang bekerja di negeri itu.

Terima kasih kerana membaca.

Rujukan : Utusan Online 29 Julai 2011

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs