Kepulangan skuad Malaysia disambut meriah di terminal lapangan terbang LCCT Kuala Lumpur pada jam 8.15 pagi, Selasa 22 November 2011.
Ong Kim Swee jurulatih Malaysia berkata "Keletihan kami dalam perjalanan ke stadium, menaiki Kereta Perisai atau "Baracuda", jelas berbaloi dengan kemenangan epik dan bersejarah ini. Ong Kim Swee bekas pemain bolasepak Sarawak dan Sabah sebelum menjadi jurulatih. Dia rakan saya ketika dia bermain bola untuk Sabah pada sekitar 1996.
Pada malam Isnin 21 November 2011, jutaan peminat bolasepak Malaysia tertumpu di depan TV.
Tidak kira Perdana Menteri, Menteri, Wakil Rakyat, penebar roti canai, penarik becha, penjual emas dan saudagar permata mahupun Penjenayah dan Pengedar Dadah, semuanya tertumpu di kaca TV mulai jam 8 malam Isnin 21 November 2011.
Semuanya menyaksikan perlawanan akhir bolasepak SUKAN SEA 2011 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia.
Dan akhirnya Malaysia menang pingat emas menewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan jaringan penalti setelah keputusan terikat 1-1 selepas tamat 90 minit dan selepas tamat masa tambahan.
Harimau Ngap Garuda!!
100,000 penyokong Indonesia di stadium Gelora Bung Karno, tergamam.
Malaysia pertahankan Emas bolasepak sukan Sea buat kali kedua berturut turut.
Sebelum perlawanan, kaunter jual tiket di stadium Gelora Bung Karno dilaporkan dibakar peminat fanatik Indonesia.
2 penyokong Indonesia pula maut kerana berasak asak dalam stadium.
Indonesia mendahului 1-0 menerusi tandukan Gunawan Dwi Cahyo hasil tendangan sudut di minit ke 5.
Malaysia menyamakan kedudukan juga menerusi tandukan menerusi Mohd Asraruddin Putra Omar di minit ke 35.
Perlawanan akhirnya ditentukan menerusi sepakan penalti yang dimenangi Malaysia 4-3.
Perlawanan itu bukan sahaja hangat kerana ia perlawanan akhir, tetapi kerana mempertemukan 2 musuh tradisi iaitu Malaysia dan Indonesia. 2 negara jiran tetangga yang sudah banyak kali berkontoversi samada kerana sukan, budaya atau politik ataupun kerana merebut pulau dan perairan.
Pada tahun 2000, Indonesia dan Malaysia ke mahkamah keadilan antarabangsa, ICJ untuk isu tuntutan bertindih Pulau Sipadan yang akhirnya memihak Malaysia.
Ketika ini perairan Ambalat yang kaya dengan minyak dan gas pula menjadi rebutan.
Isu pakaian dan makanan juga pernah menimbulkan kontroversi antara Malaysia dan Indonesia, begitu juga isu amah atau pembantu rumah Indonesia yang dilaporkan didera majikan di Malaysia.
Tunjuk perasaan termasuk membakar bendera Malaysia Jalur Gemilang dan membaling najis manusia, sudah acap kali berlaku di pejabat kedutaan Malaysia di Jakarta.
Sebab itulah, perlawanan malam tadi, amat hebat dan bersejarah dan paling manis juga untuk Malaysia kerana menang emas yang menjadi ibu segala pingat emas.
Syabas Malaysia, Syabas Ong Kim Swee, Syabas Harimau.
Teruskan Mengaummmmmmmm....
No comments:
Post a Comment