Friday, November 4, 2011

Insiden keretapi Sabah langgar lori tangki minyak - Kerajaan Sabah tubuh jawatankuasa khas















Susulan insiden keretapi penumpang merempuh lori tangki di kilometer 5 Jalan Kota Kinabalu – Putatan, isnin lalu, 31 Oktober 2011.

Kerajaan Sabah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat secara terperinci kejadian itu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata jawatankuasa itu dipengerusikan beliau dan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

Kata Pairin, Jawatankuasa khas itu turut dianggotai Kementerian Pengangkutan, Jabatan Keretapi Negeri Sabah dan Jabatan Kerjaraya.

Beliau memaklumkan kepada media mengenai penubuhan Jawatankuasa itu selepas melawat lokasi kemalangan pada Jumaat, 4 November 2011.

Tugas jawatankuasa itu menyediakan laporan lengkap insiden untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri Negeri dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Dalam kejadian Isnin lalu 31 Oktober 2011, sebuah keretapi milik Jabatan Keretapi Negeri Sabah membawa 116 penumpang, terbakar setelah merempuh sebuah lori tangki membawa 27 ribu liter minyak petrol.

Insiden terburuk dalam sejarah keretapi Sabah itu berlaku apabila lori tangki itu sedang melintasi laluan haram untuk menghantar bahan api itu ke sebuah stesen minyak Shell.

12 penumpang cedera dalam kemalangan itu.

Ketika kejadian, keretapi itu dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Papar selepas mengambil pekerja kerajaan dari bangunan sekretariat di Kota Kinabalu.

Menurut Pairin, laporan itu penting untuk menentukan tindakan susulan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa lintasan haram di sepanjang landasan keretapi berkenaan, ditutup dalam masa terdekat.

Laluan susur keluar bagi kegunaan penduduk pula, akan dinaik – taraf.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs